Saturday, July 13, 2019

Pengenalan Kampung Pengalat Kecil, Papar




Dewan Serbaguna dan Bilik Gerakan Kampung Pengalat Kecil Papar


ASAL USUL / SEJARAH PENUBUHAN KAMPUNG PENGALAT KECIL PAPAR

PENEROKA TERAWAL KAMPUNG PENGALAT KECIL
Dalam tahun 1852, kampung ini mula didiami orang yang berasal dari Mengkabong, Tuaran yang bernama Bakar, Amet dan Amin.  Dengan menggunakan sebuah perahu sederhana besar, mereka datang dengan tujuan mencari sejenis kulit kayu yang boleh digunakan untuk membuat minuman tuak daripada nira kelapa atau nira buah nipah.
Mereka mendirikan pondok kecil di atas permukaan sungai dengan menggunakan pokok nibung sebagai tiang dan tangga.  Manakala atap, pintu dan dinding menggunakan kajang atau sulapir yang dianyam daripada daun nipah.  Pondok ini digunakan sebagai tempat untuk melepaskan lelah dan juga tempat untuk mengisi perut setelah seharian penat mengopek kulit kayu.
Dari minggu ke minggu, semakin ramai pula pendatang baru menetap di tempat ini dan kesemua mereka datang untuk mencari rezeki dengan mendapatkan kulit ngiri.
Tidak lama kemudian, seorang pembesar berbangsa Brunei (bernama Pengiran Bahar) bersama sembilan orang pengikut yang lengkap dengan parang panjang berkilat datang ke kampung ini.  Kehadiran mereka disambut baik oleh penduduk yang terlebih dahulu menetap di sini.
Pengiran Bahar menerangkan kepada penghuni-penghuni bahawa dia diutus untuk menjadi pembesar bagi menjaga keamanan dan ketenteraman kampung itu.


KAMPUNG PENGALAT KECIL MENDAPAT NAMA
Bakar dan penghuni-penghuni lain menyambut baik kedatangan Pengiran Bahar berserta sembilan orang pengikutnya.  Mereka kemudiannya mendirikan sebuah rumah yang amat besar dan cantik.  Rumah tersebut mempunyai sebanyak lima bilik iaitu :
1. Bilik peribadi Pengiran Bahar
2. Dapur
3. Bilik sembilan orang pengikut
4. Bilik penginapan tetamu
5. Bilik khas untuk melayan tetamu (ruang tamu)

Ingin membalas jasa Bakar dan penduduk, Pengiran Bahar bertanya kepada Bakar akan keperluan yang mereka perlukan.  Tanpa berfikir panjang Bakar menjawab, bahawa mereka berkehendakkan perkakas yang boleh mengilatkan parang mereka yang sudah berkarat dan tumpul.  Pengiran Bahar dan pengikutnya terbahak-bahak mendengar permintaan itu lantas dia memberitahu agar Bakar dan rakan-rakannya datang keesokan hari untuk mendapatkan perkakas yang diinginkan.
Keesokan harinya, Bakar dan rakan-rakannya datang lalu berkata kepada Pengiran Bahar, “Kami datang untuk meminta perkakas pengilat parang tumpul dan berkarat”.  Sekali lagi Pengiran Bahar dan pengikut-pengikutnya tertawa terbahak-bahak mendengar kata-kata Bakar.
Semenjak hari itu, perkataan pengilat  itu melekat di mulut Pengiran Bahar dan rakan-rakannya.  Setiap kali melihat Bakar datang ke rumahnya, Pengiran Bahar akan bertanya kepada pengikutnya “Apa pula yang akan dikhabarkan oleh si Pengilat hari ini?”
Setiap penghuni dikampung ini mendapat seorang satu batu pengasah .  “Inilah benda yang dimaksudkan sebagai pengilat parang tumpul itu!” kata Pengiran Bahar.  “Mulai hari ini, kampung yang tidak bernama ini saya bagi nama sebagai Kampung Pengilat,” sambung Pengiran Bahar lagi.
Selepas enam bulan, Pengiran Bahar melantik Bakar dan Polan (berasal dari Kuala Abai Kota Belud) sebagai Orang Tua Kampung Pengilat.  Terdapat dua kawasan Kampung Pengilat ini.  Satu di beri nama Kampung Pengilat Kecil (diketuai oleh Bakar) dan satu lagi Kampung Pengilat Besar (diketuai oleh Polan).  Pembahagian kawasan ini dibuat bagi memudahkan Pengiran Bahar mentadbir kawasan di bawah jagaannya.
Wujudnya nama Pengilat Kecil dan Pengilat Besar ini disebabkan oleh batu pengasah yang diterima.  Pengiran Bahar menyerahkan batu asah yang agak kecil sedikit kepada Bakar berbanding dengan batu yang diberikan kepada Polan.
Semasa pemerintahan British, berlaku kesilapan kecil ketika kakitangan British membuat Banci Penduduk di mana nama Kampung Pengilat Kecil telah tersilap tulis kepada Kampung Pengalat Kecil.  Keadaan yang sama juga berlaku kepada Kampung Pengilat Besar (sekarang dikenali sebagai Kampung Pengalat Besar).

*Rujukan dari buku BANTUGAN DI PENGALAT KECIL (Memoir Karyawan Tamu DBP Cawangan Sabah) hasil penulisan Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun BinYussuf, anak jati Kg. Pengalat Kecil, Papar 


2 comments:

 KEMPEN KESEDARAN PENGGUNA (22 OGOS, 2020)     Kempen Kesedaran Pengguna ini adalah program di bawah anjuran KPDHEP dengan kerjasama MPKK Pe...